Saturday, May 14, 2011

Sengsara bersuami si kasanova


SELEPAS membaca pelbagai masalah dalam ruangan ini, saya terpanggil untuk berkongsi masalah saya. Saya berkenalan dengan seorang lelaki, B ketika menghadiri perkahwinan rakan baik saya. Mulanya saya menolak untuk mengenalinya tetapi lama kelamaan hati saya cair dek kesungguhannya.


Sepanjang perkenalan kami, dia berkongsi segala cerita termasuklah mengenai masa silamnya yang hitam dan juga kisah dia pernah curang dengan kekasihnya. Namakan saja segala perkara buruk, semua pernah dicubanya. Mulanya saya agak terkejut tetapi dia berjanji akan berubah dan tidak akan mensia-siakan saya seperti mana yang pernah dilakukan kepada bekas kekasihnya.


Dipendekkan cerita hati saya terbuka disebabkan kejujuran dan keikhlasan yang ditunjukkannya. Sepanjang proses mengenalinya, saya dapat menggambarkan dia adalah seorang yang baik, serta menyenangkan hati saya walaupun kadangkala terkeluar juga sifat barannya itu.

Sehinggakan pada suatu hari saya terjumpa gambar wanita lain di dalam telefon bimbitnya tetapi apabila ditanya, dia hanya menyatakan dia tidak tahu-menahu kenapa wanita itu boleh menghantar gambar itu.


Saya fikir mungkin ada betulnya walaupun jika difikirkan lagi memang tiada logiknya, tetapi isu itu tidak dipanjangkan. Kami mengenali keluarga masing-masing dan alhamdulillah mereka semua merestui.

Tiada kena mengena dengan foto neh
Sebenarnya saya tidak berterus-terang dengan keluarga saya mengenai segala-galanya, termasuklah taraf pendidikan kami yang bagai jurang kerana saya tahu keluarga saya pasti akan menentangnya, dan saya tak sanggup untuk kecewa lagi. Kemudian, kami pun bertunang selepas tujuh bulan mengenali hati budi masing-masing.

Selepas bertunang, saya dihantar untuk bekerja keluar negara selama beberapa bulan, dan segala-galanya berjalan lancar. Selepas habis tugasan di sana, kami sibuk untuk membuat persiapan kahwin. Dalam kesibukan itu, saya dikejutkan lagi dengan beberapa mesej 'mesra' dihantar olehnya kepada seorang perempuan.

Saya kecewa dan mengugut untuk memutuskan pertunangan tetapi dia berjanji dan merayu tidak akan mengulanginya lagi. Untuk menunjukkan yang dia akan setia sepenuhnya, dia berikan saya kata laluan e-melnya. Alangkah terkejutnya saya, rupa-rupanya sudah banyak kali dia curang kepada saya dengan menjalinkan hubungan dengan wanita berbeza ketika kami hangat bercinta dan juga ketika sudah bertunang.

Apabila ditanya seperti biasa dia mengaku tersilap langkah dan menyesalinya. Mungkin sudah memang ditakdirkan jodoh saya dengannya, saya memaafkan dan kami pun berkahwin.

Dalam melayari bahtera perkahwinan, boleh dikatakan 80 peratus belanja rumah diuruskan oleh saya, memandangkan saya bergaji besar berbandingnya, tetapi itu tidak menjadi duri dalam hubungan kami kerana pada saya tidak salah untuk berkongsi demi kesejahteraan bersama dan saya percaya rezeki semuanya di tangan Allah.

Mungkin sekarang rezekinya kurang tetapi suatu hari nanti akan bertambah. Alhamdulillah, selepas dua bulan berkahwin, saya disahkan mengandung tiga minggu dan sememangnya itu berita yang menggembirakan kepada kami berdua. Semua berjalan lancar sehinggalah saya menjumpai mesej mesra melalui lawan web sosial dan juga 'webcam' mesej yang tidak sesuai untuk diucapkan suami orang kepada wanita lain.

Saya cukup melenting dan sedih memandangkan keadaan saya sekarang serta kami yang baru mengecapi bahagianya sebuah perkahwinan itu. Saya cukup kecewa dengannya sehinggakan saya berkongsi kesedihan dengan kakaknya, walhal selama ini saya tidak pernah menceritakan perkara buruknya itu kepada sesiapa pun.

Kakaknya terkejut dan berjanji untuk menasihatinya. Dia merayu dan menangis kepada saya dan berjanji untuk berubah, dan ketika itu saya nampak sinar keinsafan dan kekesalannya, serta memikirkan anak dalam kandungan, saya memaafkannya sekali lagi.

Kami dikurniakan anak lelaki yang comel dan sangat aktif. Dialah buah hati pengarang jantung kami. Segala kasih sayang dicurahkan sepenuhnya kepada dia. Saya sangkakan dengan kehadiran cahaya mata itu, dia akan berubah menjadi seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab kepada keluarganya.

Rupa-rupanya dia masih dengan perangai lamanya. Saya pernah juga terjumpa mesej daripada perempuan yang menimbulkan rasa curiga tetapi apabila ditanya, dia menidakkan yang mempunyai hubungan istimewa dengan mereka semua, dan untuk memuaskan hati saya dia padam nombor mereka.

Sekali lagi saya memaafkannya dan memujuk hati ini bahawa dia akan berubah suatu hari nanti. Tetapi baru-baru ini saya cukup kecewa apabila terjumpa mesej berbaur lucah yang dihantar kepada bekas kekasihnya yang juga isteri orang.
Kali ini kami memang bergaduh besar, sehinggakan saya tidak dapat lagi mengawal kemarahan saya dengan memaki hamun dan juga menamparnya.

Saya mengamuk bertanyakan apa salah saya sehinggakan dia masih terus membuat kesilapan sama, tetapi dia hanya diam. Terus terang saya katakan, saya cukup kecewa dan tawar hati untuk meneruskan mahligai kami ini.

Saya cukup bersabar dengan kerenahnya yang kadangkala terlalu kebudak-budakan mungkin akibat terlalu dimanjakan daripada kecil, serta menjalankan segala yang termampu untuk menjadi isteri dan ibu yang sempurna. Saya tidak pasti apa silap saya sebenarnya kerana dia tidak pernah menyatakan walaupun puas ditanya.

Saya tidak tahu adakah saya masih boleh memaafkannya lagi kali ini, atau bolehkah saya menyayanginya lagi seperti sebelum ini. Saya cukup sedih, kecewa tetapi pada masa sama saya kasihankan masa depan anak saya jika ditakdirkan kami berpisah. Adakah perlu saya berkorban perasaan lagi untuk mempertahankan kesucian sebuah perkahwinan itu?


RIZA
Damansara


Sebagai pengajaran untuk semua, terutama kaum Hawa, Dang Setia ingin membicarakan mengenai dua kategori lelaki berdasarkan pandangan dalam sebuah blog.

1) Lelaki Playboy
Bagaimana mengenali mereka:
Selalunya mereka ini seorang yang berpenampilan menarik dan 'up to date'. Biarpun kadangkala mereka tidak begitu kacak daripada segi paras rupa, penampilan mereka cukup menawan. Kalau bercakap, memang romantis sekali. Mereka selalunya memiliki kereta berjenama terkenal dan tinggal di kawasan mewah. Jarang sekali mereka bercakap mengenai keluarga mereka.

Maknanya:
Mungkin mereka ini belum terfikir untuk kehidupan berkeluarga dan hanya mementingkan keseronokan hidup saja. Mungkin kerana penampilan diri mereka yang menarik hati, membuatkan mereka sering menjadi perhatian. Jadi, berhati-hatilah! Ada yang berjaya mengikis sikap itu bila usia makin menginjak dewasa tapi usah terperanjat kerana ada yang masih kekal dengan perangai playboy itu biarpun usia sudah veteran.

2) Lelaki Tradisional
Bagaimana mengenali mereka:
Corak berpakaian mereka selalunya sederhana saja, tidak terlalu kuno atau 'up to date' sangat. Namun, mereka agak suka memerintah orang lain menuruti kehendak mereka. Selain itu, dia sangat bijak mengatur soal kewangannya dan sukakan perempuan yang mampu membuatkan jiwanya tenang.

Maknanya:
Dia ini mampu menjadi suami yang baik nanti. Bagi dirinya, keluarga adalah segala-gala dalam hidupnya. Mereka impikan sebuah keluarga yang bahagia dan itu juga bermakna dia tak takutkan komitmen.

Merujuk kepada masalah puan, Dang Setia melihat suami puan jelas tergolong dalam kategori pertama iaitu lelaki playboy. Itulah perangainya daripada muda sebelum terpikat dengan puan dan kemudian mendirikan rumah tangga serta memiliki anak.

Lelaki seperti ini lazimnya menyayangi isterinya tapi pada masa sama, sukar meninggalkan tabiat buruk 'memancing' perempuan atau istilah Inggerisnya, 'flirting'.

Sukar untuk orang lain mengubah sikapnya kecuali dia sendiri yang ingin berubah. Perubahan itu boleh dilakukan sedikit demi sedikit dengan mendekatkan diri pada agama. Insya-Allah, semakin kuat pegangan agama seseorang itu, semakin kuat dia mampu melawan dugaan hidup terutama perangai buruknya itu.

Bagi puan pula, ada dua pendekatan yang boleh dilakukan. Pertama, kembali kepada agama iaitu berdoa kepada Allah supaya membukakan hati suami supaya meninggalkan perkara mungkar.

Kedua, menyiasat setakat mana tabiat buruk suami. Ada suami 'playboy' yang gemar berkawan dengan ramai gadis dan wanita tapi tidak melebihi batas. Dalam kata lain, itu cuma hobinya dan dia masih sedar tanggungjawabnya terhadap keluarga. Lelaki seperti ini masih boleh dimaafkan biarpun hakikatnya, dia memang menyakitkan hati isteri.

Tapi kalau dia sudah melampaui batas hingga mempunyai hubungan sulit, lelaki seperti ini tidak lagi boleh dimaafkan dan perceraian adalah jalan terbaik biarpun kenyataan itu pahit dihadapi.

Justeru, jalan terbaik kepada gadis yang ingin mendirikan rumah tangga, pilihlah lelaki tradisional yang berpotensi untuk menjadi suami bertanggungjawab.

Lelaki itu lazimnya adalah seorang yang sederhana tapi memiliki pakej lengkap sebagai suami. Suami seperti ini mampu membahagiakan wanita hingga ke anak cucu.


......Tetiba tertengok artikel ni..tertarik plak nak post.....

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails