JIKA golongan wanita bersubang, bergelang dan memakai rantai emas dihiasi intan berlian, Sham Kamikaze, 35, pun apa kurangnya. Perhiasannya penuh satu kotak. Di pentas pula bergaya dengan kemeja-T gambar tengkorak dan kehebatannya memetik gitar menjadi pujaan ramai gadis.
Namun apabila hidayah tiba, Sham atau nama penuhnya Shamril Mohamed Salleh dengan rela hati sanggup meninggalkan semua itu. Segala-galanya datang tanpa dirancang.
Hampir dua bulan lalu, Sham mengajak rakannya memandu hala ke utara tanah air sambil berazam untuk berhenti solat setiap waktu di masjid yang mereka temui.
Dalam perjalanan itu ketika bersolat di Masjid Alwi, Kangar, Perlis, dia terserempak dengan Imam Satu, Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman As Sudais dan bersalam dengannya.
Sedangkan mereka yang mengerjakan umrah atau haji di Makkah pun susah hendak bertemunya, apatah lagi untuk berjabat tangannya.
Sesungguhnya pertemuan yang tidak disangka itu meniupkan angin perubahan pada dirinya, langsung Sham meninggalkan segala perkara yang menjadi kebanggaannya di dunia selama ini.
Dengan wajah berseri dan perkataan syukur tidak lekang di bibir, Sham menceritakan segala yang dirasainya kini kepada wartawan SELEBRITI, NOR AKMAR SAMUDIN.
ZAMAN jahil saya dulu, hendak solat pun terasa berat kaki tangan. Kalau ‘buat’ pun mesti lambat. Sudah dekat hampir masuk waktu Asar, baru saya solat Zuhur dan sebaik habis, berkumandang pula azan Asar.
Dalam hati merungut, ‘alamak, baru solat Zuhur, dah nak solat Asar pula?’ Kadangkala bila dengar azan pun masih buat tak tahu. Rasa macam tak ada makna apa-apa.
Namun sejak mendapat hidayah Allah SWT, rasa tak sabar menunggu azan. Saya bersiap awal ke masjid sebelum kedengaran azan. Terasa damainya hati apabila kita ikhlas beribadah kerana-Nya.
Saya memanjatkan kesyukuran tidak terhingga kepada Ilahi kerana memberikan hidayah pada usia masih muda dan mendapat petunjuk dalam keadaan saya masih sihat dan senang.
Kebanyakan yang kita dengar, ada yang baru sedar apabila dihimpit kesusahan. Daripada pengalaman saya, jika Allah SWT hendak memberi petunjuk, Dia tidak kira siapa, di mana dan berapa usianya.
Kalau diingatkan zaman jahil dulu, apa yang saya tak buat. Orang muda yang ingin mencuba segala-galanya. Kalau bab berfesyen, usah ceritalah. Aksesori saya mengalahkan wanita, saya pakai anting-anting, gelang dan rantai.
Bukan anting-anting biasa, tetapi anting-anting berlian yang harganya mencecah ribuan ringgit. Siap ada tempat khas untuk menyimpan semua perhiasan itu.
Dalam bab berpakaian pula, terutama kalau buat show, kemeja-T bergambar tengkorak menjadi pilihan. Agaknya orang alim yang tengok saya pakai baju itu mengucap sakan dan berdoa semoga saya berubah.
Bila solat Jumaat, saya tanggalkan anting-anting tetapi saya melakukannya bukan kerana Allah SWT tetapi kerana malu pada orang. Sekarang saya suruh isteri (Farazali Abdul Jabar, 29) beri perhiasan itu pada orang tanpa sedikit pun rasa rugi. Bukan tak tahu orang lelaki haram memakai barang kemas, tetapi waktu itu manalah saya kisah.
Dengan perubahan ini, saya mahu menjalani kehidupan seharian dengan mencontohi cara hidup Rasulullah SAW. Sabda baginda: “Hidupkan aku dalam keadaan fakir dan matikan aku dalam keadaan fakir.” Namun bukan pula kita tidak boleh mencari harta, namun harta diperoleh itu hendaklah digunakan pada jalan benar, seperti bersedekah.
Saya sangat bersyukur kerana sejak menceburi bidang seni, rezeki saya tidak pernah putus. Tak perlu saya cari kerja, duduk di rumah saja menanti panggilan telefon. Saya sudah puas merasai nikmat dunia dan tiba masa saya hidup dalam keadaan sederhana.
Bagaimanapun, sejak dulu saya tidak masalah untuk bersedekah kerana ia diajar emak ayah dan saya suka buat kerja kebajikan. Dalam banyak amalan, bersedekah adalah yang paling senang di mana kita senyum pada orang pun, sudah dikira sedekah. Hebatnya amalan bersedekah ini.
Orang paling gembira bila saya berubah adalah isteri dan emak saya. Isteri saya kata: ‘Syukur, Allah SWT sudah makbulkan doa saya’. Isteri saya dulu penyanyi latar dan dia dapat hidayah lebih awal. Setiap waktu dia mengingatkan saya untuk bersolat dan jawapan yang selalu saya bagi, ‘nantilah dulu’.
Bayangkan betapa sukarnya seorang isteri untuk membimbing suaminya kerana dia ketua keluarga. Kalau cakap lebih-lebih nanti, takut suami naik angin.
Hikmah lain, kawan saya bertambah ramai. Tak kira apapun bangsa kawan saya, mereka gembira dengan cara hidup saya sekarang.
Kalau dulu di Facebook, ada lebih kurang 5,000 peminat, sekarang hampir 12,000 orang. Ada yang kata, dia mula minat saya sejak saya berubah. Ada ramai orang baik di luar sana yang mahu mendalami dan mendekati Islam.
Pun begitu, pada awal perubahan itu, dugaan paling hebat apabila hendak bangun solat Subuh. Terasa beratnya kelopak mata kerana saya selalu berjaga hingga jam dua tiga pagi. Sekarang, loceng jam belum berbunyi, saya dah terjaga.
Mula-mula itu sakit kepala dibuatnya kerana tak cukup tidur, tetapi sekarang dah biasa. Hidayah itu tidak boleh dicari tetapi ia datang sendiri.
Kini, apapun yang saya lakukan kerana Allah SWT. Saya mula bermain muzik pada 1993 dan sekarang saya lebih suka bekerja di belakang tabir. Tiada lagi terkinja-kinja di pentas. Melangkah saja ke persembahan pentas atau konsert, dosa sudah menunggu kerana melihat aurat wanita tidak bertudung dan berpakaian seksi.
Dulu, kalau saya memandu di sekitar Jalan Bukit Bintang, mata meliar memerhatikan wanita pelbagai bangsa yang lalu-lalang. Berjalan dengan isteri, tangan kiri menggenggam erat tangannya tetapi mata masih menjeling gadis di seberang sana.
Sekarang isteri saya senang hati melepaskan saya pergi ke manapun. Cukuplah, zaman itu sudah berlalu. Setiap orang pasti melakukan kesilapan dan moga Allah SWT mengampunkan dosa saya.
Bagaimanapun, yang mana projek dipersetujui sebelum saya berubah, saya akan selesaikan. Malam tadi saya muncul di konsert mingguan Akademi Fantasia 9 sebagai juri kerana janji yang dibuat sudah lama.
Saya masih bermain muzik, namun cukuplah di belakang tabir dan sedia bekerjasama dengan mana-mana kumpulan nasyid di negara ini. Jika mereka mengadakan persembahan bercorak Islamik, saya sudi bekerjasama.
Saya memakai ketayap atau bersongkok serta berjubah, bukan untuk menunjuk-nunjuk pada orang tetapi sebagai peringatan buat diri sendiri.
Mengingatkan ketayap di kepala sekali gus menghalang saya untuk melakukan perkara tidak baik. Jalan pun lebih banyak tunduk untuk menjaga pandangan. Melihatkan jubah putih tersarung di badan menyekat langkah saya kembali ke jalan lama.
Saya betul-betul bertaubat dan mudah-mudahan Allah SWT tetapkan hati saya berada di jalan yang ditetapkan-Nya sehingga ke akhir hayat saya.
Doa saya setiap hari: “Ya Allah, jangan kau bolak-balikkan hati ku selepas Engkau berikan hidayah.” Untuk menambah ilmu agama yang masih cetek, saya pergi kuliah agama, mendengar ceramah, membaca buku, kitab, mendalami al-Quran dan memahami tafsirannya. Saya pun tidak mahu berubah secara ekstrem, biarlah perlahan-lahan.
Ada yang panggil saya berceramah tetapi ilmu yang ada belum sampai ke tahap itu. Kalau hendak bercerita macam mana saya mendapat hidayah, itu boleh. Sabda Rasulullah SAW: “Manusia itu sentiasa dalam kerugian kecuali orang yang beriman.” Menurut seorang ustaz, kalau kita mahu menambah ibadah, tengoklah ahli ibadah yang hebat. Namun dalam bab urusan dunia, tengoklah orang yang lebih teruk daripada kita supaya kita menjadi lebih baik daripadanya.
Dalam dunia ini, perkara paling berat yang manusia hendak buat ialah beriman dengan qada dan qadar. Kita kena percaya, semua perkara terjadi atas izin-Nya.
Waktu baru berubah, depan isteri dan seorang pelajar saya, tiba-tiba gitar kesayangan saya terjatuh. Mereka terdiam kerana takut saya naik hantu kerana dulu kalau barang kesayangan saya rosak atau hilang, siaplah, berasap satu badan.
Namun kali ini dengan tenang saya mengangkat gitar tanpa rasa marah kerana saya anggap ia qada dan qadar daripada Allah SWT. Dah jatuh, saya hendak buat macam mana. Semua perkara terjadi atas kehendak-Nya.
Kita sudah rasai semua nikmat dunia tetapi kita tak ingat Tuhan. Hidup saya sekarang sangat bermakna kerana dapat mendekati Allah SWT.
Sebagai hamba-Nya yang serba kekurangan, kita mesti tamak mencari pahala Allah SWT, bukan mengutamakan harta dunia. Kalau Rasulullah SAW yang maksum itu bertaubat 70 kali sehari, siapalah kita hamba yang hina ini.
Takut dan gerunlah dengan azab Allah, insya-Allah kita akan selamat. Selalu minta pada-Nya, hendaklah kita mati dalam Islam, dalam keadaan berwuduk dan dapat mengucap dua kalimah syahadah.
Firman Allah SAW, “Dan kamu tidak mampu menempuh jalan itu kecuali dikehendaki Allah.”
No comments:
Post a Comment