Wednesday, May 18, 2011

Senang je nak kalahkan Iblis

Yes, senang je nak kalahkan iblis kalau tahu caranya.


Adam dan manusia diciptakan Allah dalam sebaik baiknya kejadian, kerana dia terdiri dari jasmani dan rohani (roh, akal, hati dan nafsu), sehingga ia menjadi suatu makhluk yang beradab dan berkebudayaan, terus maju tidak beku.

Adam dan keturunannya diciptakan Allah untuk menjadi Khalifah (penguasa atau pengatur) di bumi, sebagaimana Allah menciptakan Malaikat sebagai Khalifah di langit.

Kerana menyedari akan kedudukan dan kemuliaan Adam, para Malaikat dapat mengerti akan perintah Allah untuk menghormati Adam. Mereka lalu menjawab: "Baiklah, ya Tuhan kami. Kami dengar dan kami taati segala perintahMu."

Allah lalu menciptakan Adam dari tanah dengan tanganNya sendiri. Berbentuk seperti bentuk kita manusia sekarang ini. Iaitu berkepala, berbadan, bertangan dan berkaki. Lalu Allah hembuskan roh kepadanya, sehingga Adam menjadi hidup.

Adam menggerakkan kedua tangan dan kakinya, lalu ia bersin (batuk), sehingga bergerak sekujur badannya, terbuka kedua matanya, bergerak jantung dan paru parunya. Sekaligus ketika Adam membuka kedua matanya, melihat seluruh alam di sekitarnya, timbullah pengertian dan kesedaran, dan dengan pengertian dan kesedaran itu, dia mengucap: Alhamdulillahi Rabbil Alamin (Segala pujian bagi Allah yang mengatur seluruh alam).

Para Malaikat kagum sekagum kagumnya melihat dan mendengar ucapan pertama yang keluar dari mulut Adam. Satu ucapan yang berisi pengertian dan kesedaran tertinggi. Pengertian dan kesedaran bahawa alam ini seluruhnya diciptakan dan diatur oleh Allah, sebab itu Allah selamanya harus selalu disanjung dan dipuji.

Para Malaikat serentak menjawab ucapan Adam: "Yarhamukallahu, ya Adam." Ertinya: Allah selalu menumpahkan rahmatNya kepada engkau, ya Adam, dan selamatlah. Para Malaikat lalu beratur mengelilingi Adam, lalu sujud dan menghormati kepada Adam, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka. Hanya Iblis yang tak mahu sujud dan tidak mahu menghormati Adam. Dia tetap berdiri dan membangkang dengan sombongnya, tidak mahu menjalankan apa yang diperintahkan Allah.

Allah lalu berkata kepada Iblis itu: "Bukankah engkau juga makhluk ciptaanKu, yang juga harus tunduk dan menjalankan perintahKu? Tetapi kenapa engkau tidak sujud dan tidak memberi hormat terhadap Adam sebagaimana Aku perintahkan?"

Iblis menjawab: "Engkau ciptakan aku dari api dan Adam dari tanah. Api lebih mulia dari tanah. Itu bererti yang aku lebih mulia dari Adam. Maka tidak sepatutnyalah aku sujud dan hormat terhadap Adam itu."

Mendengar bantahan Iblis itu, Tuhan menjadi marah, lalu berkata kepada Iblis: "Tempat ini (Syurga) bukan tempat orang yang menyanggah terhadap Aku. Sekarang juga, engkau harus keluar dari sini."

Sesudah keluar dan terusir dari Syurga, Iblis kembali menyanggah dan berkata kepada Allah: "Ya, Tuhan! Engkau usir aku dari Syurga ini kerana Adam. Aku bersumpah, bahawa aku dengan semuaanak keturunanku akan memusuhi Adam dan semua anak dan keturunannya buat selama lamanya. Mereka akan aku sesatkan. Mereka akan aku celakakan. Aku akan ajak dan anjurkan kepada mereka untuk berbuat keburukan dan kerosakan di dalam dunia ini nanti, agar kehidupan mereka selamanya susah dan kacau bilau belaka."


Mendengar ancaman Iblis itu, Allah lalu berkata: "Untuk menghindarkan tipu daya mu itu, kepada manusia akan Aku beri suatu senjata yang ampuh, ialah akal. Akal itu akan Aku bimbing dengan petunjuk petunjuk (agama), Manusia yang tetap mempergunakan akal dan menurut petunjuk petunjukKu tidak akan dapat engkau sesatkan dan perdayakan. Dengan akal itu, mereka akan dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Dengan tuntunan petunjukKu, akal mereka akan mempunyai daya berfikir yang benar. Sesiapa yang tak menggunakan akal dan tidak menurut petunjukKu, tentu dapat engkau goda dan sesatkan. Ini akan dipertanggung jawabkan di hadapanKu nanti dihari kemudian (Akhirat).

Mendengar keterangan Allah itu, Iblis terdiam. Tetapi hatinya makin mendongkol, irihati dan dengkinya terhadap manusia bertambah memuncak.

Iblis berpaling kepada Adam. Mata dan seluruh perhatiannya sekarang ini ditujukannya kepada Adam. Dia ingin tahu di mana letak kelemahan kelemahan jasmani dan rohani manusia. Adam dipelajarinya dari segala segi. Akhirnya Iblis berkesimpulan bahawa manusia itu selain mempunyai kekuatan berfikir, iaitu akal yang amat hebat itu, juga mempunyai banyak kelemahan kelemahannya. Di samping akal itu, manusia mempunyai nafsu. Dan nafsu itu banyak sekali macam ragamnya.

Ada nafsu terhadap makanan dan minuman, ada nafsu kelamin atau syahwat, ada nafsu terhadap harta benda dan kekayaan, terhadap rumah tempat tinggal dan kenderaan dan ada pula nafsu terhadap pangkat dan kedudukan yang tinggi di tengah tengah sesama manusia. Di tiap tiap macam nafsu, tabiat dan karakter, terdapat banyak sekali pintu pintu atau lubang lubang kelemahan dan setiap waktu dapat dimasuki oleh Iblis untuk memperdayakan dan mengacaukan kehidupan manusia.

Setelah melihat semua kelemahan itu, Iblis ketawa kecut. Dia ketawa dan gembira, kerana berhasil melihat kelemahan manusia. Tetapi hatinya menjadi kecut dan takut, bahawa manusia di samping mempunyai kekuatan yang hebat, iaitu akal, juga dengan akal itu dapat menerima petunjuk petunjuk Tuhan. Petunjuk Allah itu adalah merupakan satu benteng berlapis waja yang tidak mungkin dapat ditembus oleh Setan dan Iblis.

Iblis dari semula mengakui akan kelemahan dirinya menghadapi manusia yang sedar dan iman yang berbentengkan petunjuk Allah dalam hidupnya. Bahkan kalau kita manusia mengerti dan sedar pula akan kelemahan Iblis dan kekuatan rahsia dari keimanan yang penuh terhadap Allah dan petunjuk petunjuk Allah, manusia akan selamat dalam kehidupan dunia dan akhiratnya dan akan terhindar dari tipu muslihat Iblis atau kesesatan dalam hidup.

Iblis adalah satu kekuatan ghaib yang dapat disamakan dengan gelap. Sedang keimanan terhadap Allah dan petunjuk petunjuk Ilahi adalah pula satu kekuatan ghaib yang dapat disamakan dengan terang atau cahaya. Bila suatu tempat tidak dimasuki oleh cahaya, pasti tempat itu diisi oleh gelap. Bila tempat yang gelap itu dimasuki cahaya, pasti gelapnya lenyap. Begitu pulalah manusia sebagai tempat. Bila dia kosong dari keimanan dan petunjuk Ilahi, akan bermaharajalelalah Setan dan Iblis atas dirinya. Tetapi bila manusia mempunyai keimanan di dada dan selalu disiram dengan petunjuk petunjuk Ilahi, segala daya Iblis tak mampu memperdayakan.


Allah telah memberi jawapan, gunakan AKAL & IMAN. Itu je senjata Mukmin untuk melawan tipu daya iblis syaitan yang pastinya akan menyesatkan manusia supaya menyembah mereka. Puak mereka akan berusaha gigih sehinggalah ke hari Malaikat Maut menjemput kita nanti.

Tak dapat dibayangkan jika kita terpedaya menyatakan Iblis itu tuhan hanya kerana dahaga yang teramat ketika Roh hampir dicabut. Semoga Iman yang kukuh dapat membezakan yg sedang memegang segelas air itu adalah bayangan iblis!

Semoga kita hidup & mati didalam iman..aamin.

 
Sumber rujukan http://nur-addin.blogspot.com/2010/06/nabi-adam.html

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails